KNOWLEDGE TOURISM TO MEDAN 2024

MEDAN INDONESIA, 18 hingga 20 MEI 2024 – Lima orang Pegawai bersama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) telah mengikuti program ‘Knowledge Tourism To Medan 2024’ anjuran Persatuan Pustakawan Malaysia. Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memperluas dan mengembangkan ruang lingkup perkhidmatan yang tersedia di Malaysia berbanding dengan negara Indonesia. Fokus utama adalah gerakan literasi untuk masyarakat di desa.

Peserta program dibawa berkunjung ke Pekan Literasi Kampoeng Budaya, Desa Wisata Kampoeng Lama. Konsep yang diketengahkan oleh kampung ini adalah Literasi Membaca dan Budaya melalui sesi bercerita, membaca buku, permainan tradisional dan yang paling menarik ialah setiap hari Ahad, penduduk kampung tersebut akan berkumpul dan diberi peluang menjadi usahawan melalui perniagaan makanan dan kraftangan yang boleh membantu meningkatkan ekonomi mereka. Peserta rombongan seterusnya diberi peluang untuk bersama kanak-kanak di dalam aktiviti Literasi Membaca melalui buku yang dipersembahkan dalam bentuk bercerita di Pasar Budaya, Desa Budaya Denai Lama. Aktiviti di sini dibantu oleh para sukarelawan yang terdiri daripada guru, mahasiswa, penggiat badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat tempatan.

Pada hari kedua, peserta telah dibawa ke Danau Toba dan salah satu keunikan perkhidmatan perpustakaan yang turut disediakan di sini adalah Bot Belajar. Bot ini dijadikan tempat anak-anak seawal usia 3 tahun untuk belajar mambaca, menulis dan mengira melalui literasi membaca. Pelbagai aktiviti disediakan antaranya bercerita, mewarna dan kelas menanam anak pokok. Peserta program juga dibawa melawat ke Batak Museum Tomok untuk melihat keunikan budaya dan hasil seni ukir penduduk di sana.

Program ini ditutup dengan slot perkongsan ilmu oleh Pustakawan dari dua negara. Tidak ketinggalan YBrs. Puan Rafidah binti Abdul Aziz, Pengarah PPANPk tutut berkongsi perkembangan program literasi di Perak dan turut memperkenalkan perkhidmatan yang telah menyokong perkembangan literasi di negeri Perak. Hasil dari penyertaan lawatan ini telah membuka ruang dan peluang kerjasama dan perkongsian ilmu dan budaya di antara dua negara.