PERTANDINGAN RUANG BACAAN KELUARGA 2026 PERINGKAT NEGERI PERAK

IPOH, 2026 - Pertandingan Ruang Bacaan Keluarga 2026 Peringkat Negeri Perak telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan daripada pelbagai kaum, sekali gus mencerminkan komitmen masyarakat dalam membudayakan amalan membaca dalam keluarga.

Sebagai persediaan sebelum proses penjurian, satu taklimat pertandingan telah diadakan pada 27 Jun 2026 bagi memberikan penerangan berkaitan pelaksanaan pertandingan serta tatacara pengurusan bahan bacaan.

Proses penjurian peringkat awal telah berlangsung selama tiga minggu dengan kunjungan barisan juri ke kediaman para peserta bagi menilai keunikan, kreativiti dan pengurusan ruang bacaan yang diketengahkan. Peserta terbaik yang berjaya melangkah ke peringkat akhir kemudiannya dinilai oleh juri profesional bagi menentukan pemenang.

Pertandingan ini bukan sahaja mengetengahkan kreativiti dalam pengurusan ruang bacaan, malah turut menjadi medium untuk memupuk budaya membaca, memperkasa keluarga berilmu serta menyemai semangat muhibah dalam kalangan masyarakat.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang akan diadakan sempena Program Festival Sastera dan Seni Kanak-Kanak pada September 2026 bertempat di Ibu Pejabat Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.

Diharapkan penganjuran pertandingan ini dapat terus menjadi pemangkin kepada pembudayaan amalan membaca dalam keluarga serta melahirkan masyarakat yang berilmu dan cintakan ilmu.