MAJLIS PENYERAHAN PROJEK KERJA-KERJA NAIK TARAF DAN PEMBAIKAN BUMBUNG DAN LAIN-LAIN KERJA BERKAITAN DI BLOK UTAMA PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI PERAK

IPOH, 19 Februari 2025 – Majlis penyerahan projek Kerja-Kerja Naik Taraf Dan Pembaikan Bumbung dan Lain-Lain Kerja Berkaitan Di Blok Utama Perpustakaan Awam Negeri Perak telah diadakan bertempat di Tapak Projek Blok Utama Perpustakaan Awam Negeri Perak oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta. Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak, YBrs. Ir Haji Zamri bin Mat Kasim.

Dalam ucapan beliau, YBrs. Ir Haji Zamri mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Rinahashim Enterprise, selaku kontraktor utama atas kejayaan menyiapkan projek ini dengan kualiti yang cemerlang serta merekodkan pencapaian dengan menyiapkan kerja 133 hari lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan.

“Segala usaha, komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan oleh pihak kontraktor adalah faktor yang penting bagi memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya” ujar beliau.

Majlis diteruskan dengan acara menandatangani Dokumen Penyerahan Projek, Penyerahan Plak Projek dan lawatan sekitar kawasan projek.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, YBrs. Puan Rafidah binti Abdul Aziz; Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Daerah Kinta, YBrs. Ir. Atikah binti Md Radzi; Jurutera Awam Penguasa JKR, Ir. Ts Mohamad Kamal bin Mohd Raudzi dan Pengurus Projek Rinahashim Enterprise, Huseinal Rashidi bin Mohamed Isa.