MAJLIS PERASMIAN MENELUSURI IPOH: DULU HINGGA KINI DAN PROGRAM SEMBANG SANTAI “PENGISAHAN SEJARAH IPOH” 2023

IPOH, 07 APRIL 2023 – Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) telah menganjurkan Majlis Perasmian Menelusuri Ipoh: Dulu Hingga Kini dan Program Sembang Santai “Pengisahan Sejarah Ipoh” 2023 sempena Tahun Melawat Ipoh 2023. Majlis ini telah disempurnakan oleh Encik Zulkifle bin Jaafar Sidek, Pengarah Kanan Perkhidmatan, Majlis Bandaraya Ipoh. Seramai 200 orang peserta dan 250 pengunjung yang terdiri daripada pelajar, agensi kerajaan, persatuan, IPTA/IPTS dan sekolah telah terlibat dalam program yang dijalankan. Program ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan kepada masyarakat tentang sejarah awal Ipoh,  merapatkan hubungan antara agensi, IPTA, Persatuan, Badan Bukan Kerajaan dan orang perseorangan dengan komuniti dalam menganjurkan program yang memberi impak kepada masyarakat dan meningkatkan kunjungan orang awam ke Galeri Koleksi Khazanah Negeri Perak.

Antara pengisian program adalah Sembang Santai “Pengisahan Sejarah Ipoh 2023”, Pameran Menelusuri Ipoh: Dulu Hingga Kini dan Majlis Menandatangani Nota Persefahaman Rakan Strategik antara PPANPk dengan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak.

Sejurus selesai majlis perasmian, Encik Zulkifle bin Jaafar Sidek serta tetamu jemputan yang lain berkesempatan melawat Pameran “Menelusuri Ipoh: Dulu hingga Kini” yang diadakan di Galeri Koleksi Khazanah Negeri Perak. Program ini juga mendapat kerjasama dengan Arkib Negara Malaysia Negeri Perak, Lembaga Muzium Negeri Perak, Jabatan Perancang Bandar Majlis Bandaraya Ipoh, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak dan Tourism Management Berhad. YB Khairudin Bin Abu Hanipah, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak turut hadir meluangkan masa bagi melawat pameran Menelusuri Ipoh: Dulu hingga Kini dan Program Sembang Santai Pengisahan Sejarah Ipoh 2023.

Program Sembang Santai “Pengisahan Sejarah Ipoh 2023” pula menampilkan dua ahli panel berpengalaman iaitu Dr. Ahmad Jelani bin Halimi, BKM, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak dan Ibrahim bin Ahmad, AMP, Pensyarah Unit Pengajian Umum UNIKL RCMP Ipoh, serta moderator adalah Encik Mohd Farhan Bin Hamzan.

Hadir sama, Puan Rafidah binti Abdul Aziz, Pengarah PPANPk, Encik Mohd Amir Bin Mohd Dahalan, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, Encik Saifurnizam Bin Ya’akob, Penolong Pengarah Arkib Negara Malaysia Cawangan Perak, dan ahli-ahli Lembaga Pengarah PPANPk.