KONVENSYEN PERPUSTAKAAN SE-MALAYSIA 2022 PULAU PINANG

PULAU PINANG, 5 September 2022- Lebih 800 peserta kontinjen daripada warga kerja perpustakaan di seluruh Malaysia telah hadir dan bersama-sama memberi komitmen bagi menjayakan Konvensyen Perpustakaan Se-Malaysia 2022 yang berlangsung pada 5 hingga 10 September 2022 yang lepas. Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang telah menjadi tuan rumah bagi penganjuran konvensyen pada tahun ini dengan kerjasama Kementerian Perlancongan, Seni dan Budaya, Perpustakaan Negara Malaysia, Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), dan Persatuan Pustakawan Malaysia.

Program ini bertujuan untuk mencetuskan pelbagai idea baru dan meningkatkan semangat kebersamaan yang tinggi di kalangan kakitangan perpustakaan. “Jati Diri Berbudaya, Peduli Info” adalah tema konvensyen tahun ini di mana warga perpustakaan perlu lebih cakna akan pelbagai isu dalam konteks yang lebih terbuka dan berlapang dada memandangkan hari ini, maklumat di hujung jari dan sama-sama melayari “dunia tanpa sempadan”.

Kontinjen Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) yang terdiri daripada 37 peserta tidak ketinggalan menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam menyahut cabaran bagi menyertai setiap program dan aktiviti yang dipertandingkan secara berpasukan. Secara tidak langsung konvensyen ini telah mengikat ukhuwah dan jalinan silaturahim diantara kontinjen Konvensyen Perpustakaan Se-Malaysia.

Sepanjang konvensyen berlangsung di antara perkongsian program dan aktiviti yang menarik yang disertai oleh kontinjen PPANPk adalah seperti Pameran Perpustakaan dan Seminar Respect The Chair di The Top KOMTAR, Sukan Pantai, Pertandingan Bercerita Rakyat (Penglipur Lara) dan Sayembara Terampil Berbicara di Hotel Bayview Beach, Kenduri Rakyat dan Sukan Rakyat di Kampung Agong Penaga Seberang Perai, Info Hunt@ Botani di Taman Botani.

Puan Rafidah Binti Abdul Aziz, selaku Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, memberi sokongan sepenuhnya pada konvensyen ini serta mengucapkan syabas dan tahniah kepada kontinjen PPANPk di atas kejayaan merangkul sebagai Naib Johan bagi kategori kontinjen perpustakaan. Turut membanggakan juga, Encik Muhammad Farhan bin Hamzan telah dinobatkan sebagai Johan bagi Pertandingan Pidato dan Terampil Berbicara dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1000.00 dan Trofi Kejuaraan.

Seterusnya, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang dan Jawatankuasa Konvensyen Perpustakaan Se-Malaysia yang telah bertungkus lumus memberikan layanan yang terbaik bagi menjayakan konvensyen ini.