‘EZiSTAT’ BERJAYA MERANGKUL JOHAN PERTANDINGAN KIK KATEGORI PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN (PENCIPTAAN) NEGERI PERAK

IPOH, 19 OKTOBER 2022 – Kumpulan XTREME, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) telah dinobatkan Johan Pertandingan Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (KIK) kategori Penyampaian Perkhidmatan (Penciptaan) dengan projek inovasi EZiSTAT.

 

Kumpulan XTREME telah menyertai Pertandingan Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Horizon Baharu Sempena Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak Tahun 2022 bertempat di Hotel Casuarina@Meru yang berlangsung pada 23 September 2022. Pertandingan ini disertai oleh 19 Kumpulan yang terdiri daripada pelbagai kategori agensi dan jabatan di negeri Perak. Terdahulu Kumpulan XTREME telah berjaya menjadi Johan peringkat Perpustakaan Awam Se-Malaysia yang diadakan pada 29 Mac 2022 di Royale Chulan, Negeri Sembilan.

 

EZiSTAT merupakan sistem pengumpulan statistik yang digunakan di semua perkhidmatan perpustakaan. Pelaksanaan pengumpulan statistik perkhidmatan perpustakaan menggunakan sistem EZiSTAT adalah satu pendekatan baru bagi mengoptimumkan penggunaan ICT dalam membina satu dokumen hidup yang merekodkan data perkhidmatan rangkaian perpustakaan secara real time. EZiSTAT menjadi saluran komunikasi penyampaian maklumat yang boleh dicapai oleh pihak pengurusan tertinggi jabatan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Pencapaian (outcome) utama yang dihasilkan adalah memendekkan proses kerja, penjimatan masa, kos dan mengoptimumkan pengurusan sumber manusia. EZiSTAT telah mendapat kelulusan Pendaftaran Cap Dagangan logo EZiSTAT serta Sijil Hak Cipta Harta Intelek di mana Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak sebagai pemilik sistem.

 

Kejayaan kumpulan XTREME melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM10,000 serta sijil penghargaan daripada Kerajaan Negeri Perak.

 

Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad ketika Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak Tahun 2022 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Puan Rafidah binti Abdul Aziz.