KARNIVAL SENI DAN SASTERA NEGERI PERAK

KUALA KANGSAR, 23 September 2023 – Tuan Zulhisham bin Ahmad Shukori, Pegawai Daerah Kuala Kangsar hadir merasmikan Karnival Seni & Sastera Negeri Perak 2023 bertempat di Perpustakaan Awam Cawangan Kuala Kangsar. Tujuan utama Karnival Seni dan Sastera Negeri Perak 2023 diadakan untuk menarik minat rakyat negeri Perak khususnya untuk mengenali dan menghargai nilai sesebuah seni dan sastera yang berasal dari negeri Perak.

Seramai lebih kurang 400 pengunjung dan peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi/jabatan, IPTA/IPTS, sekolah-sekolah dan masyarakat setempat hadir menyertai pelbagai aktiviti dan memeriahkan program. Program dimulakan dengan Bicara Seni dengan topik Minat dan Kerjaya Seni, disamping itu, pengunjung yang hadir juga berpeluang melihat sendiri  demonstrasi lipatan tudung saji, pembuatan wau, ukiran halwa betik dan lukisan karikatur. Stesen masakan juga disediakan seperti  demonstrasi  membuat Kuih ‘Penganan Pulo’, Kuih Limas dan Bubur ‘Anak Lebah’.

Pelbagai persembahan menarik juga telah di persembahkan seperti persembahan gamelan dari Kumpulan Gamelan Putra Warisan dan Persembahan Tarian Tradisional dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak (JKKN). Sempena Karnival Seni dan Sastera Negeri Perak ini juga turut di adakan pelbagai pertandingan dan diantaranya pertandingan permainan tradisional congkak dan batu seremban, pertandingan deklamasi puisi, pertandingan dekorasi makanan tradisional dan banyak lagi.

Hadir sama Puan Rafidah binti Abdul Aziz, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak dan Dato’ Mohd Kamil bin Dato’ Shafie Pengerusi Tourism Perak Management Berhad.