JOM BACA BERSAMA UNTUK 10 MINIT PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI PERAK

IPOH, 18 Mei 2023- Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) telah menganjurkan program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit/ Let’s Read Together for 10 Minutes dengan usaha sama Akademi Tentera Udara (ATU) bertempat di Dewan Rajawali Akademi Tentera Udara. Seramai 500 orang terdiri daripada Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pegawai Kanan dan Pegawai Akademi Tentera Udara, Para Perajurit Muda Udara serta kakitangan PPANPk telah menghadiri dan menyertai program ini.

Program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit/ Let’s Read Together for 10 Minutes telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Leftenan Kolonel Mohamad Zumairi bin Abdullah, TUDM Ketua Cawangan Tadbir mewakili Komandan. Program ini merupakan satu program yang diadakan serentak di seluruh Malaysia dengan tema “Baca Bina Insan”. Program ini dilaksanakan juga sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia. Di mana pada 23 April setiap tahun telah dinobatkan sebagai Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia oleh UNESCO. Tujuan utama penganjuran program ini adalah sebagai satu langkah awal ke arah memupuk kesedaran mengenai kepentingan membaca di kalangan masyarakat Malaysia amnya dan Perak khususnya melalui kaedah simbolik berhenti sebentar dan membaca bersama dalam tempoh yang singkat iaitu 10 minit. Ia juga sebagai sokongan daripada PPANPk bersama-sama dengan kerajaan negeri untuk meningkatkan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat.  Antara Aktiviti yang diadakan seperti taklimat Biblioterapi oleh Pengarah PPANPk, Jom Baca bersama 10 Minit dan perkongsian cerita berkenaan buku yang dibaca.

Hadir sama, Leftenan Kolonel Nazatul Rina binti Lasim, TUDM Ketua Cawangan Material dan Puan Rafidah binti Abdul Aziz, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.