EXECUTIVE TALK DAN MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA LEMBAGA PENGARAH PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI PERAK

IPOH, 2 Jun 2023 – Lebih 200 orang tetamu yang terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah, Ketua atau wakil jabatan serta kakitangan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) hadir memeriahkan Majlis Ramah Mesra Bersama Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.

Majlis diserikan dengan kehadiran Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Yang Berhormat Khairudin bin Abu Hanipah, Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Yang Berhormat Salina Bt Samsudin, Pegawai Kewangan Negeri, Yang Berhormat Tuan Mohd Zaki Bin Mahyudin serta barisan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.

Turut diadakan Pertandingan Gerai Ramah Mesra 2023. Gerai 1 Zon Perak Tengah/ Manjung telah dinobatkan sebagai juara, manakala naib juara dimiliki oleh Gerai 2 Zon Hilir Perak. Seterusnya tempat ketiga dimenangi oleh Gerai 4 Zon Kuala Kangsar, Hulu Perak & LMS.

Terdahulu seawal 9.00 pagi telah diadakan Executive Talk yang disampaikan oleh Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Yang Berhormat Khairudin bin Abu Hanipah kepada semua kakitangan PPANPk. Yang Berhormat Pengerusi menggariskan lima fokus utama sebagai agenda penting dalam pengurusan perpustakaan di negeri Perak.

Lima fokus tersebut adalah seperti berikut:

  1. Memantapkan perkhidmatan perpustakaan melangkaui kebiasaan
  2. Memantapkan Perkhidmatan Infrastruktur Digital
  3. Memantapkan koleksi perpustakaan secara komprehensif
  4. Memantapkan tadbir urus dengan penuh profesionalisme dan berintegriti
  5. Pembangunan perpustakaan yang lebih mampan dan telus.

Di akhir ucapan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Yang Berhormat Khairudin bin Abu Hanipah, mengharapkan agar semua kakitangan PPANPk akan terus berusaha mencapai kecemerlangan dengan berteraskan lima fokus tersebut. Semoga PPANPk akan terus maju ke hadapan dan memberikan perkhidmatan yang terbaik buat masyarakat.