PROGRAM SEMARAK KEMERDEKAAN: BUAL BICARA KEMERDEKAAN

IPOH, 30 Ogos 2022- Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) di bawah Perpustakaan Awam Negeri dan Gerakan Membaca telah menganjurkan Program Semarak Kemerdekaan: Bual Bicara Kemerdekaan di Bilik Cempaka di Perpustakaan Awam Negeri. Program ini bertujuan untuk memupuk semangat cintakan tanah air dan juga mengenang jasa tokoh yang telah banyak berkorban dan berkhidmat untuk negara di samping dapat mengeratkan silaturrahim di kalangan rakyat Malaysia.
Panel jemputan bagi Bual Bicara Kemerdekaan adalah Tuan Mejar (B) Haji Abdul Kadir Bin Soib A.M.P, Rejimen Askar Jurutera Diraja, serta moderator adalah Encik Mohd Farhan Bin Hamzan. Antara pengisian program adalah sesi temubual dan berkongsi pengalaman bertugas di Bosnia and Herzegovina sebagai Rejimen Askar Jurutera Diraja. Diantara pengalaman yang dikongsikan oleh beliau adalah membuat kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan, bangunan serta tempat kediaman Tentera Malaysia dan Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO). Selain itu, terdapat juga pameran kemerdekaan, dan kuiz kemerdekaan yang turut disertai oleh peserta daripada pelbagai agensi, IPTA/IPTS, dan pelajar sekolah yang disediakan oleh Perpustakaan Awam Negeri.
Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Puan Rafidah Binti Abdul Aziz dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak, Encik Abd Rashid Bin Abdullah.