PERTANDINGAN BOLING KREKAP PERKUKUH SILATURAHIM WARGA PPANPk

IPOH, 25 Disember 2025 – Kelab Rekreasi dan Kebajikan Kakitangan (KREKAP), Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) telah menganjurkan Pertandingan Boling KREKAP yang berlangsung di Lite Superbowl JB 9, Angsana Mall.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran Pengarah PPANPk merangkap Penasihat KREKAP, YBrs. Puan Rafidah binti Abdul Aziz, yang juga menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi kategori Juara Keseluruhan Berkumpulan, Juara Lelaki, Juara Wanita, Anugerah Sepanjang Zaman serta Anugerah Kumpulan Sensasi.

Penganjuran pertandingan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kesukanan serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan warga kerja PPANPk. Di samping itu, program ini memberi peluang kepada warga jabatan untuk beriadah dan berinteraksi dalam suasana santai, sihat dan positif di luar persekitaran kerja.

Diharapkan agar aktiviti seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha menyokong kesejahteraan warga kerja serta menyumbang ke arah pembentukan budaya kerja yang harmoni, produktif dan berdaya saing.