HEBAHAN BAZAR BUKU PERAK 2026 DIPERKASA MENERUSI SIARAN PERAKFM

IPOH, 17 April 2026 – Program Bazar Buku Perak 2026 terus diperluaskan hebahannya menerusi siaran radio apabila satu sesi temubual khas telah berlangsung di PerakFM yang menampilkan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Puan Rafidah binti Abdul Aziz, bagi berkongsi maklumat serta pengisian menarik yang bakal disajikan sepanjang penganjuran program tersebut.

Program ini diadakan bersempena Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Zon Utara, dengan tema “Perak Membaca Rakyat Sejahtera” yang menekankan kepentingan budaya membaca dalam membentuk masyarakat berilmu dan harmoni.

Dalam sesi tersebut, pelbagai perkara telah diketengahkan termasuk objektif penganjuran, penglibatan agensi serta aktiviti-aktiviti menarik yang akan berlangsung sepanjang bazar, antaranya jualan buku, program interaktif, serta pengisian berunsurkan pendidikan dan komuniti.

Hebahan melalui medium radio ini dilihat sebagai salah satu inisiatif strategik dalam memastikan maklumat berkaitan program dapat disampaikan secara meluas kepada masyarakat, seterusnya menggalakkan penyertaan orang ramai.

Terdahulu, beliau turut ditemubual bersama Berita RTM pada sebelah pagi bagi tujuan hebahan program yang sama.

Bazar Buku Perak 2026 dijangka menjadi platform penting dalam memupuk minat membaca di samping mengeratkan hubungan masyarakat melalui pendekatan berteraskan ilmu dan perpaduan.