Program World #QuranHour 1447H Peringkat Negeri Perak Berlangsung di Masjid Negeri Perak
IPOH, 11 Mac 2026 – Program World #QuranHour 1447H peringkat Negeri Perak telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh (Masjid Negeri Perak) pada 21 Ramadan 1447H bersamaan 11 Mac 2026, dari jam 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang.
Program yang dianjurkan secara serentak di seluruh dunia ini mengangkat tema “Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia” dengan berpandukan Surah Al-Muzzammil (Orang Yang Berselimut), surah ke-73 yang mengandungi 20 ayat. Program ini bertujuan mengajak masyarakat meluangkan masa selama satu jam bersama al-Quran melalui bacaan, tadabbur dan penghayatan maknanya.
Penganjuran kali ini merupakan hasil sinergi antara Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk), Rumah Ngaji Perak dan Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) dalam menjayakan program tersebut di peringkat negeri.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin sebagai tetamu kehormat.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah YB Dato’ Khairudin bin Abu Hanifah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak merangkap Pengerusi PPANPk; YB Salina binti Samsudin, Timbalan Pengerusi PPANPk; Puan Rafidah binti Abdul Aziz, Pengarah PPANPk; Puan Hajjah Robaatun Hadaiyah binti Harun, Pengerusi Rumah Ngaji Sekretariat Negeri Perak; Tuan Haji Abd Farid bin Haji Salleh, Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak); Ahli Lembaga Pengarah PPANPk serta ketua-ketua jabatan.
Pengisian program dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh Qari Antarabangsa Malaysia, AF Ustaz Aiman Ridhwan bin Mohd Ramlan, diikuti sesi tadabur yang disampaikan oleh AF Ustaz Mohd Jamil bin Abdul Wahab. Para peserta berpeluang menghayati mesej dan pengajaran daripada surah tersebut yang menekankan kepentingan membina kekuatan dalaman serta memperkukuh hubungan dengan Allah SWT sebelum membina kekuatan dalam kehidupan bermasyarakat.
Selain pelaksanaan di lokasi perdana, program ini turut disertai oleh pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan, organisasi dan komuniti yang melaksanakannya secara serentak di lokasi masing-masing. Orang ramai juga berpeluang mengikuti program ini melalui siaran langsung di Facebook rasmi PPANPk.
Penganjuran World #QuranHour diharap dapat terus menyemarakkan budaya membaca, memahami dan menghayati al-Quran dalam kalangan masyarakat, selaras dengan usaha memperkukuh nilai-nilai murni serta membentuk masyarakat yang berilmu dan berakhlak.



































































1.jpg)

























































-min.jpg)













































.jpg)
.jpg)





