PROGRAM WORLD #QURANHOUR 2025 ANJURAN PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI PERAK DENGAN KERJASAMA MASJID MUHAMMADIAH
Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak dengan kerjasama Masjid Muhammadiah Tasek telah menganjurkan Program World #QuranHour pada 25 Mac 2025 bersamaan 24 Ramadan 1446H bertempat di Masjid Muhammadiah Tasek, Ipoh. Program ini bertujuan mengajak masyarakat untuk menghayati al-Quran, menyatukan ummah, serta memperkukuhkan saf berlandaskan Surah Al-Saff dalam misi MengQURANkan Bangsa, MengIKHLASkan Ummah.
Program ini dimulakan dengan ceramah yang disampaikan oleh YBhg Datuk Dr. Haji Zahazan bin Mohamed, Pengarah Urusan Telaga Biru Sdn. Bhd. Simbolik perasmian "World #QuranHour 1446H" telah disempurnakan oleh YABhg Datin Seri Aezer binti Zubin, isteri kepada YAB Menteri Besar Perak. Turut hadir ialah YB Tuan Khairudin bin Abu Hanipah, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, YBrs. Puan Rafidah binti Abdul Aziz, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak dan Pengerusi Masjid Muhammadiah, YBhg. Dato’ Dr. Haji Fadzli Cheah bin Abdullah.
Program diteruskan dengan sesi selama 1 jam bersama Al-Quran, dengan bacaan Surah Al-Saff, surah ke-61 yang mengandungi 14 ayat, dibimbing oleh AF Ustaz Mohd Syafiq bin Abu Hasan, Pengurus Pendidikan Semat Q.
Di penghujung program, bubur lambuk telah diedarkan kepada para peserta sebagai tanda penghargaan dan simbol ukhuwah sepanjang bulan yang mulia ini.
Program ini menghimpunkan seramai kira-kira 1,200 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk wakil agensi kerajaan, Intitusi Pengajian Tinggi, sekolah, persatuan serta orang awam.