MAJLIS MALAM SANGGAR PUISI : SUARA JIWA ANAK MALAYSIA

LUMUT, 27 September 2025 – Buat julung kalinya Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak telah menganjurkan pertandingan deklamasi puisi di Malam Sanggar Puisi : Suara Jiwa Anak Malaysia. Usaha ini telah mendapat kerjasama dari Persatuan Kebudayaan Manjung, Laman Karya Lumut (LAKAR) serta Majlis Perbandaran Manjung.

Majlis ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia yang hadir sebagai tetamu kehormat. Turut hadir bersama mengiringi Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia adalah Yang Berusaha Puan Rafidah binti Abdul Aziz, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak; Yang Berbahagia Dato' Haji Rashidi bin Ibrahim, Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia; Yang Berusaha Encik Mohd Khairolazuan bin Ariffin, Pengerusi Kebudayaan Daerah Manjung; Yang Berusaha Encik Najmi bin Jamaluddin, Pengurus Laman Karya Lumut (LAKAR); Yang Berusaha Encik Nafees bin Hashim, Pengarah Jabatan Komunikasi Strategik Dan Perhubungan Awam, Majlis Perbandaran Manjung; dan Yang Berusaha Encik Muhamad Zulasyaraf bin Zurimie, Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Dan Tanah Manjung.

Seramai 10 orang peserta mengambil bahagian dalam pertandingan deklamasi puisi pada malam tersebut. Setiap peserta tampil dengan persembahan yang sarat dengan emosi, memperlihatkan keindahan bahasa serta kekuatan suara anak Malaysia. Persembahan mereka membangkitkan rasa cinta terhadap budaya, bangsa dan negara. Majlis diserikan lagi dengan deklamasi dua buah puisi oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr. Zambry bin Abd Kadir, yang disampaikan dengan penuh penghayatan, sekali gus memukau hati para penonton. Selain itu, majlis turut diserikan dengan persembahan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Boestamam, Sitiawan dan Sekolah Kebangsaan Felcra Seberang Perak.

Penganjuran program ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat cintakan sastera tanah air, menjadikan perpustakaan sebagai pusat ilmu dan seni yang inklusif, serta menyokong aspirasi kerajaan dalam membentuk masyarakat berbudaya ilmu dan berjiwa patriotik. Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini. Semoga Malam Sanggar Puisi: Suara Jiwa Anak Malaysia terus menjadi wadah menyuburkan bakat, menyemai nilai patriotisme, serta memperkukuh peranan perpustakaan sebagai nadi ilmu, budaya dan komuniti.