PENYERTAAN PPANPk DI PBAKL DAN PEMURNIAN DASAR PENGURUSAN KOLEKSI
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 telah berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun 2025 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
PPANPk tidak ketinggalan menyertai program berprestij ini dengan menghantar seramai 15 orang pegawai bagi melaksanakan pemilihan dan perolehan koleksi perpustakaan terkini sepanjang 28 hingga 31 Mei 2025.
Bagi memastikan pemilihan dijalankan dengan baik dan sejajar dengan objektif PPANPk, Bengkel Pemurnian Dasar Pengurusan dan Pembangunan Koleksi telah dianjurkan pada 29 Mei bertempat Seri Pacific Hotel. Bengkel ini bertujuan memperkukuh dasar pengurusan koleksi dengan menyediakan koleksi yang komprehensif kepada pengguna perpustakaan seluruh negeri Perak.
PPANPK juga turut mengambil peluang di PBAKL dengan menyertai perkongsian ilmu digital bersama Syarikat Bloombury Digital dan University Books Store Malaysia(UBS) bagi menyokong pembangunan koleksi digital PPANPK.
Terdahulu, PPANPk menyertai reruai Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dengan mengetengahkan pelbagai aktiviti seperti jualan cenderamata, permainan robotik, promosi bahan bacaan digital (Boox Note), serta promosi Bazar Buku Perak 2025. Kehadiran maskot PPANPk, iaitu Didi di PBAKL, turut menceriakan suasana dan menarik minat pengunjung, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan keluarga.