Majlis Perasmian Bazar Buku Perak 2025 MERIAH, GALAK BUDAYA MEMBACA “PERAK MEMBACA RAKYAT SEJAHTERA”
Ipoh, 24 Julai 2025 – Majlis Perasmian Bazar Buku Perak 2025 (BBP2025) telah berlangsung dengan penuh meriah dan bersemangat petang ini di AEON BiG Falim, Ipoh, disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.
Bertemakan “Perak Membaca Rakyat Sejahtera”, BBP2025 merupakan anjuran tahunan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) yang menumpukan usaha memperkukuh budaya membaca dan meningkatkan akses rakyat kepada ilmu serta bahan bacaan berkualiti.
Dalam ucapan perasmian, YAB Menteri Besar menegaskan bahawa budaya membaca ialah asas pembinaan masyarakat berilmu, sejahtera dan berpandangan jauh. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada PPANPk atas inisiatif penganjuran program yang menyasarkan semua lapisan masyarakat.
Melalui pembacaan, saya belajar memahami dunia luar, membentuk cara berfikir, dan memperoleh keyakinan untuk terus maju dalam hidup. Sebab itu, apabila kita menghimpunkan warga negeri dalam program seperti ini, saya melihatnya sebagai satu usaha yang sangat besar maknanya, bukan sahaja dalam menyemai minat membaca, tetapi dalam memberi keyakinan kepada generasi muda untuk bermula dan berjaya.
BBP2025 menyaksikan penyertaan sebanyak 55 reruai pempamer, melibatkan penerbit buku, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan penggiat industri kreatif. Penganjuran selama lima hari ini turut menawarkan lebih 35 aktiviti yang bersifat interaktif dan inklusif, meliputi aspek ilmu, kreativiti dan teknologi.
Antara pengisian utama yang diketengahkan termasuk:
???? Unlock Your “A” : Skor SPM Dengan Teknik Tepat
???? Kick Start Your Confidence bersama Saudara Ahmad Fedtri Yahya;
???? Forum Remaja & TVET Talk;
???? Bengkel STEM, STEAM, AI & Pendidikan Khas bersama Jabatan Pendidikan Negeri Perak;
???? Seminar Transformasi Kepustakawanan Kebangsaan;
???? Sesi bersama selebriti, penulis, dan pempengaruh;
???? Aktiviti kekeluargaan, kuiz, permainan ilmiah serta persembahan seni budaya.
Sebagai usaha memupuk minat membaca, sebanyak 2,000 unit Baucar Buku Semarak Membaca turut diedarkan melalui kerjasama strategik bersama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) untuk dimanfaatkan oleh para pengunjung semasa pembelian buku.
Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar turut menyeru agar seluruh rakyat, khususnya ibu bapa dan pendidik, menjadi contoh teladan kepada generasi muda dalam membudayakan amalan membaca di rumah dan sekolah.
“Jika kita mahu mereka membaca, kita juga perlu menunjukkan contoh bahawa membaca itu sebahagian daripada gaya hidup kita sendiri. Jika rumah kita ada ruang membaca, mereka akan membina minat. Anak-anak meniru lebih banyak daripada apa yang kita ucapkan.” kata beliau menutup ucapan.
Hadir sama Yang Berhormat Tuan Khairudin Bin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak Merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak; Yang Berhormat Puan Salina binti Samsuddin, ADUN Behrang merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak; Tuan Zamakshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh merangkap Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak; dan Puan Rafidah binti Abdul Aziz Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.