MEMPERKUKUH KEPIMPINAN: PROGRAM BINA SEMANGAT PENGURUSAN PPANPk 2025

CAMERON HIGHLANDS, 18 November 2025 – Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) telah berjaya menganjurkan Program Bina Semangat Berpasukan Peringkat Pengurusan PPANPk 2025 selama dua hari, bermula pada 17 hingga 18 November 2025, bertempat di Hotel Avillion. Program ini telah melibatkan seramai 18 orang pegawai dan dirangka khusus bagi memperkukuh kepimpinan serta memantapkan semangat berpasukan.

YBrs. Pengarah PPANPk, Puan Rafidah binti Abdul Aziz, telah menyampaikan dua sesi taklimat bertajuk “Memimpin dengan Amanah, Berkhidmat dengan Hati” dan “Cermin Diri Seorang Pegawai: Di Mana Hilangnya Semangat?”. Sesi tersebut memberi tumpuan kepada pengurusan kendiri, nilai integriti serta kepentingan memperbaharui motivasi dalam perkhidmatan awam.

Program ini turut merangkumi perbincangan aspek strategik organisasi. Para peserta juga terlibat dalam pembentangan berkumpulan meliputi analisis kajian kes berkaitan micro manage dan macro manage, penyediaan takwim tahun 2026, idea KIK/Inovasi serta perancangan penyertaan pertandingan poster IFLA. Disamping itu, para peserta turut menyertai aktiviti berpasukan yang menguji kerjasama dan penyelesaian masalah secara kreatif.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja menyuntik motivasi baharu, malah membantu menetapkan hala tuju yang lebih jelas menjelang tahun 2026 bagi memastikan tadbir urus serta kualiti perkhidmatan PPANPk terus cemerlang dan berimpak.