BAZAR BUKU PERAK 2026 MELABUHKAN TIRAI DENGAN KEJAYAAN

IPOH, 26 April 2026 - Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) meraikan kejayaan penganjuran Bazar Buku Perak 2026 yang telah melabuhkan tirainya di Stadium Indera Mulia, Ipoh semalam pada 26 April 2026 (Ahad).

Program strategik ini dilaksanakan bersempena Sambutan Minggu Perpaduan anjuran Kementerian Perpaduan Negara dan telah disempurnakan perasmiannya pada 23 April 2026, jam 10.00 pagi oleh Yang Berhormat Tuan Yuneswaran Ramaraj Timbalan Menteri Perpaduan Negara. Majlis tersebut turut dihadiri dan diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Dato' Khairudin bin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Yang Berusaha Encik Mohamad Sobri bin Mat Daud Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik), Kementerian Perpaduan Negara, Yang Berusaha Encik Edy Irwan bin Zulkafli Ketua Pengarah, Perpustakaan Negara Malaysia.

Penganjuran Bazar Buku Perak 2026 sepanjang empat hari bermula 23 hingga 26 April 2026 kali ini mencatatkan impak yang amat positif menerusi sokongan konsisten rakyat negeri Perak yang hadir menjayakan agenda memartabatkan budaya ilmu. Kejayaan edisi 2026 ini diperkukuhkan dengan penyediaan lebih 40 aktiviti menarik yang disusun rapi merangkumi pelbagai kategori pengisian berimpak tinggi termasuk slot forum perkongsian ilmu, bengkel kemahiran kreatif, demonstrasi interaktif, sesi bimbingan kerjaya, serta persembahan seni dan budaya.

Selain aspek pendidikan, Bazar Buku Perak 2026 turut bertindak sebagai pemangkin ekonomi negeri melalui penyertaan 75 pempamer yang terdiri daripada agensi kerajaan, penerbit dan pembekal bahan bacaan serta pengusaha Industri Kecik Sederhana (IKS) tempatan. Usaha ini secara tidak langsung merancakkan sektor pelancongan ilmu dan menyediakan platform pasaran strategik bagi usahawan mikro di bawah naungan Kerajaan Negeri Perak.

PPANPk akan terus komited dalam memacu aspirasi Perak Sejahtera 2030 melalui inisiatif kecemerlangan ilmu dan kesejahteraan rakyat. PPANPk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik, pempamer dan seluruh warga Perak atas sokongan padu yang diberikan dalam menjayakan Bazar Buku Perak 2026.