BENGKEL ASAS BIBLIOTERAPI: KAEDAH MENANGANI MASALAH EMOSI MENERUSI BAHAN BACAAN

IPOH, 20 Mei 2025 – Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) dengan kerjasama Persatuan Biblioterapi Malaysia (PERBIMA) telah menganjurkan Bengkel Asas Biblioterapi pada 19 hingga 20 Mei 2025 bertempat di Institut Latihan Perkhidmatan Awam (ILPA), Ipoh.

Bengkel ini bertujuan memperkenalkan konsep asas biblioterapi serta membina kefahaman dan kemahiran menggunakan bahan bacaan sebagai kaedah sokongan emosi dan kesejahteraan mental. Dua penceramah telah berkongsi ilmu dan pengalaman, iaitu Puan Rafidah binti Abdul Aziz, Pengarah PPANPk merangkap Pengerusi PERBIMA, serta Puan Hajah Rozainun binti Mahmod , Ketua Unit Psikologi & Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Arau, Perlis.

Pengisian bengkel meliputi teori dan sejarah biblioterapi, teknik pelaksanaan, latihan pemilihan bahan bacaan, simulasi praktikal serta sesi interaktif. Bengkel ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada guru, pustakawan, kaunselor, pegawai psikologi dan individu yang berminat dalam pendekatan biblioterapi.

PPANPk merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan bengkel ini dan berharap biblioterapi dapat dimanfaatkan secara lebih meluas dalam masyarakat.