اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ dan Salam Sejahtera.
Saya mewakili Ahli Lembaga Pengarah serta Pengurusan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pengguna yang telah memberikan sokongan kepada PPANPk. PPANPk akan terus memberikan perkhidmatan dan penyediaan fasiliti yang terbaik buat pengguna perpustakaan sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.
Justeru itu, kami akan terus meningkatkan kualiti perkhidmatan, penganjuran program serta aktiviti seperti yang dirancang di peringkat negeri, cawangan dan juga desa. Semoga dengan sokongan dari rakyat negeri Perak akan menjadi pemangkin bagi kami untuk bekerja lebih keras ke arah mencapai visi dan misi PPANPk bagi tahun 2022 dan tahun seterusnya.
Dengan adanya laman sesawang PPANPk, serta pelbagai sumber dari media sosial, pengguna akan dapat mengetahui maklumat aktiviti, program, perkhidmatan serta fasiliti yang disediakan oleh PPANPk sepanjang tahun. In Shaa Allah, kami akan berusaha memastikan perpustakaan sentiasa menyediakan bahan bacaan yang berkualiti dan terkini supaya ianya dapat diakses dan dimanfaatkan oleh masyarakat tanpa mengira umur, kaum dan latarbelakang.
Sokongan padu dari Kerajaan Negeri Perak juga menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan lagi perkhidmatan dan daya saing perpustakaan ke arah merealisasikan “Perak Sejahtera”. PPANPk berusaha untuk menjadi penyedia perkhidmatan terbaik sama ada di peringkat negeri mahupun negara melalui perkhidmatan yang diberikan oleh perpustakaan utama dan cawangan.
PPANPk akan meneruskan program yang menyokong pendidikan, sosial, ekonomi, warisan dan budaya serta kesihatan mental di seluruh daerah dan desa yang terdapat di negeri Perak. Di samping itu, perkhidmatan terkini iaitu “Pengenalan kepada Biblioterapi” akan diperkenalkan di PPANPk dalam menyokong kempen kesihatan mental di Malaysia. Perkhidmatan baru ini akan membantu dari aspek penyediaan bahan bacaan dan fasiliti ruang membaca yang eksklusif dan mendamaikan bagi tujuan ini tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Seterusnya, PPANPk juga sedang mempersiapkan diri dalam menaiktaraf ibu pejabat PPANPk ke arah perpustakaan digital mengikut fasa. In Shaa Allah fasa 1 diharap akan dapat direalisasikan pada tahun 2023.
Akhir kata, saya amat berharap usaha PPANPk untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat sentiasa mendapat sokongan padu dari Kerajaan Negeri, Ahli Lembaga Pengarah , kakitangan serta seluruh warga negeri Perak dalam mencapai hasrat dan matlamat PPANPk untuk terus maju ke hadapan.
Semoga, ambang 2023 kelak akan menjadi titik tolak kepada kecemerlangan dan kegemilangan PPANPk.
Puan Rafidah Binti Abdul Aziz
Pengarah
Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak